Monday 19 September 2011

KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL 922/1 - Bahagian C: Prosa Tradisional

Hikayat Bayan Budiman
            Pada suatu hari Khojah Maimun menyatakan kepada dua unggasnya bahawa
beliau ingin pergi berniaga ke negeri lain selama beberapa waktu.  Maka beliau berpesan
kepada unggasnya supaya menjaga isterinya yang jelita itu. Setelah beberapa lama
ditinggalkan suaminya, Bibi Zainab merasa kesepian. Suatu hari di hadapan rumahnya
lalu seorang anak raja negeri itu . Bibi Zainab merasa tertarik hatinya. Begitu juga
dengan anak raja tersebut . Maka Bibi Zainab pun berniat pergi menemuinya untuk
memenuhi hasratnya pada malam hari . Sebelum berangkat , Bibi zainab bertanya kepada
Tiung Rencana tentang niatnya itu. Tiung Rencana menasihati Bibi Zainab untuk
membatalkan niatnya kerana melanggar ajaran tuhan. Zainab  marah lalu membunuh Tiung Rencana.
           Melihatkan perbuatan Bibi Zainab, Bayan khuatir bahawa dia akan
dibunuh juga jika menyanggah cakap tuannya . Maka ketika Zainab meminta
pendapatnya tentang apa yang ingin dilakukannya , maka Bayan pun berceritalah tentang
sebuah hikayat .
           Zainab sangat tertarik mendengar cerita Bayan sehingga dia tidak sedar hari telah
menjelang pagi setelah cerita itu selesai dikisahkan . Keesokan harinya , ketika Zainab
berniat pergi menemui anak raja, Bayan menceritakan satu lagi hikayat dan Zainab
sukacita mendengarkan hingga pagi menjelang.. Begitu seterusnya sehingga Zainab lupa
memenuhi hasratnya untuk menemui anak raja.
           Kisah pertama yang diceritakan oleh Bayan Budiman adalah tentang burung yang dicabut
bulunya oleh isteri saudagar . Kisah ini mengisahkan tentang isteri yang berzina semasa peninggalan
suaminya yang belayar .Kisah pertama ini memberi nasihat awal kepada Bibi Zainab untuk menghalangnya
berzina . Setelah mendengar kisah tersebut , cubaan Zainab untuk bertemu anak raja itu terbatal kerana
hari sudah siang takut diketahui umum.
           Pada malam berikutnya Bibi Zainab sangat tertarik mendengar cerita Bayan Budiman sehingga
dia sendiri memaksa Si Bayan bercerita meskipun bayan memujuk Zainab supaya mengunjungi putera raja.
Ini menunjukkan bahawa pesan yang disampaikan cerita Si Bayan Budiman memberikan pengajaran
berharga kepada Zainab. Bayan menceritakan sebuah cerita setiap malam sehingga mencapai 24 malam .
           Setelah kisah ke–24, Khojah Maimun akhirnya pulang ke negerinya. Bertemankan nasihat Bayan
Budiman,Bibi Zainab bersabar menunggu kepulangan suaminya (Khojah Maimun) . Maka ketika Khojah
Maimun pulang dari pelayaran. Zainab tidak pernah berzina dan suaminya berasa terharu dengan kesetiaan
isterinya itu.  Sebagai bentuk pengucapan terima kasih kepada Bayan Budiman, Zainab memohon kepada
suaminya untuk melepaskan Bayan Budiman supaya dapat kembali kepada keluarganya di hutan . Namun
demikian , Bayan Budiman tetap mengunjungi kedua suami isteri itu setiap enam hari sekali .



Menurut pandangan falsafah .
          Falsafah dapat ditafsirkan sebagai pendapat , penyelidikan , pegangan , ilmu
pengetahuan dan proses mengukur atau menguji sesuatu kejadian . Falsafah sering
dikaitkan dengan tokoh – tokoh ternama seperti Aristotle , Plato , Thales , Ibnu Sina dan
sebagainya . Falsafah juga berkait rapat dengan pemikiran serta tindakan yang benar iaitu
keputusan yang dibuat berdasarkan logik akal . Ilmu falsafah cuba menyelami atau
merungkaikan sesuatu secara lebih mendalam dan terperinci daripada sifat
zahir/fizikal/luaran yang ditafsirkan melalui pancaindera .
         Merujuk teks Hikayat Bayan Budiman , terdapat falsafah disebalik kisah tersebut .
Falsafah yang dimaksudkan ialah tema , pegangan atau pun moral cerita yang ingin
disampaikan melalui kisah tersebut. Melihatkan teks Hikayat Bayan Budiman , antara
nilai dan konsep yang dapat dirungkaikan ialah konsep ketaatan dan kasih sayang .
Konsep ini dapat dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian iaitu ketaatan dan kasih
sayang antara suami (Khojah Maimun) dan isteri (Bibi Zainab) , haiwan peliharaan
( Bayan Budiman dan Tiung Rencana ) dengan tuannya dan kasih sayang antara Bibi
Zainab dengan anak raja.
           Oleh yang demikian, pengarangnya menggabungkan fungsi penggunaan akal, pancaindera
dan hati/ kalbu secara saling bergantungan . Nilai ini jelas memaparkan kasih sayang dan
ketaatan Bibi Zainab kepada suaminya (Khojah Maimun). Nilai ini dapat dilihat ketika Khojah
Maimun membuat keputusan ingin belayar . Kasih sayang yang ditunjukkan Bibi Zainab
mengumpamakan kerana kami perempuan ini seperti umpama kaus ; jika tiada kaus ,
nescaya kaki pun binasa. “ , dimana Bibi Zainab mengibaratkan kaum perempuan sebagai
pelengkap dalam sesebuah keluarga . Nilai kasih sayang yang terdapat dalam petikan itu
menggambarkan keutuhan ikatan kasih sayang yang erat sehingga tidak mahu terpisah antara
suami isteri . Konsep ini lebih menggunakan kredibiliti hati/kalbu, dimana keputusan yang
dibuat Bibi Zainab lebih mentafsirkan jawapan mengikut emosi dan perasaan. Pada mulanya ,
Bibi Zainab berasa berat hati ingin membenarkan suaminya pergi belayar. Hal ini kerana dia
memikirkan tentang risiko yang tinggi ketika di laut. Namun demikian dengan rasa hormat ,
taat dan kasih kepada suaminya, Bibi Zainab membenarkannya pergi belayar ke laut .
            Selain itu, konsep kasih sayang dan ketaatan ini dapat juga ditafsirkan antara
haiwan peliharaan dan tuannya. Tiung Rencana serta Bayan Budiman taat dan patuh
kepada amanat yang diberi tuannya supaya menjaga Bibi Zainab. Bibi Zainab juga
diminta bekerjasama dengan unggas – unggas itu dalam menentukan sebarang pekerjaan .
Melalui sudut pandangan epistimologi iaitu kajian tentang ilmu pengetahuan , kasih
sayang dan ketaatan Bayan Budiman serta Tiung Rencana dengan amanat tuannya dapat
dilihat melalui nasihat – nasihat dan kerjasama yang diberikan oleh mereka.
            Bayan Budiman menggunakan pendekatan nasihat yang berbentuk tersirat , iaitu secara
halus dengan menceritakan kisah hikayat kepada Bibi Zainab sebelum dia berhasrat keluar
menemui anak raja itu. Manakala , Tiung Rencana menasihati Bibi Zainab secara tersurat
iaitu dengan menilai dan mengkritik perbuatan Bibi Zainab lalu membandingkan dengan nilai
disisi agama . Menggunakan logika iaitu pertimbangan akal fikiran, Bayan
Budiman memilih untuk menceritakan beberapa hikayat kepada isteri tuannya apabila
diajukan pendapa . Nilai kasih sayang dan ketaatan ini amat kuat sehingga kisah hikayat yang
disampaikannya mampu membuatkan Bibi Zainab berfikir serta membantutkanniatnya untuk
bertemu anak raja itu. Merujuk kepada nilai dalam hikayat ini dapat mencerminkan bahawa
dengan menggunakan kewibawaan akal fikiran , maka segala masalah dapat diselesaikan. Hal
ini disokong oleh tokoh Rene Descartes yang merupakan pengikut aliran rasionalisme , dimana
beliau menegaskan bahawa segala ilmu pengetahuan itu selalunya diperolehi dari fakulti akal .
              Konsep kasih sayang dan ketaatan dalam kisah hikayat Bayan Budiman ini dapat
ditunjukkan juga melalui hubungan antara anak raja dan Bibi Zainab . Perasaan ini berputik
ketika anak raja melalui rumah Bibi Zainab yang berada dijendela ketika itu. Setelah terpandang
kejelitaan wajah Bibi Zainab, anak raja mula tertarik hati kepadanya. Oleh kerana anak raja itu
tertarik dengan rupa paras Bibi Zainab, maka baginda menyuruh seorang tua untuk menyampaikan
pesan akan kehendaknya kepada Bibi Zainab. Konsep kasih sayang antara Bibi Zainab dengan anak
raja ini lebih menggunakan kewibawaan penggunaan pancaindera dalam kehidupan. Sesetengah
pendapat mengatakan sumber ilmu dengan pancaindera hanya sementara dan tidak kekal
dengan pengukuran kebenarannya. Hal ini dapat dibuktikan apabila, Bibi Zainab tidak
lagi mahu ingin bertemu anak raja setelah mendengar kisah – kisah hikayat yang
diceritakan oleh Bayan Budiman, dimana pada mulanya masing – masing tertarik akan
kecantikan rupa paras mereka. Merujuk dunia sebenar, terdapat aliran falsafah yang
turut menggunakan pertimbangan pancaindera semata – mata iaitu aliran Empirisisme,
di mana pengikut aliran ini lebih mempertimbangkan perkara yang dilihat dan dialami .
             Selain nilai kasih sayang dan ketaatan yang terdapat dalam Hikayat Bayan
Budiman ini, terdapat juga nilai kebijaksanaan yang dapat diketengahkan. Nilai
kebijaksanaan ini telah ditunjukkan oleh watak utama iaitu Bayan Budiman . Misalnya ,
melalui pendekatan nasihat yang diberikan Bayan kepada Bibi Zainab. Bayan memilih
untuk menasihati Bibi Zainab secara penceritaan hikayat – hikayat apabila melihat Tiung
Rencana yang dibunuh akibat menasihati Bibi Zainab secara telus iaitu dengan cara
membandingkan perlakuannya dengan pandangan dari sudut keagamaan. Beberapa
hikayat telah diceritakan setiap malam bagi mengelakkan Bibi Zainab bertemu anak raja .
Hikayat yang diceritakan Bayan mendukung pengajaran tersendiri yang mampu memberi
kesedaran kepada Bibi Zainab, meskipun Bayan Budiman cuba memancing Bibi Zainab
supaya berjumpa anak raja itu. Kisah pertama yang diceritakan ialah mengenai burung
yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar yang berzina semasa peninggalan suaminya.
Kisah pertama ini pemberi nasihat awal kepada Zainab untuk menghalangnya berzina.
Kebijaksanaan akal Bayan akhirnya mampu melindungi tuannya daripada melakukan
kesilapan dan dia akhirnya mendapat ganjaran iaitu dibebaskan dan pulang kepada
keluarganya. Dengan kebijaksanaan penggunaan akal fikiran manusia juga dapat
menyelesaikan apa juga masalah , tambahan lagi dengan pelbagai kemudahan yang
didapati kini .


Rumusan
Secara tuntasnya, nilai dan konsep dalam kisah Hikayat Bayan Budiman ini dapat
memberikan pengajaran dan pedoman kepada masyarakat. Walaupun nilainya
disampaikan secara tersirat, namun ia mampu membuatkan manusia berfikir akan makna
yang ingin disampaikan. Nilai kasih sayang dan ketaatan begitu penting dalam sesebuah
institusi masyarakat kerana perpaduan dan keamanan negara bermula daripada kasih
sayang serta ketaatan yang utuh dari ikatan kekeluargaan. Manakala, konsep
kebijaksanaan pula mendidik manusia berfikir tentang makna, fungsi dan tujuan sesuatu
kejadian itu berlaku atau dicipta. Kemahiran penggunaan akal mampu mengelakkan
manusia dari melakukan kesilapan serta membolehkan manusia memikirkan idea – idea
baru berikutan perkembangan kemudahan sains dan teknologi masa kini. Oleh itu , karya
– karya klasik ini hendaklah diberi lebih perhatian kerana setiap karya klasik itu terdapat
intipati yang ingin disampaikan .




No comments:

Post a Comment