Sunday 18 September 2011

KESUSASTERAAN MELAYU MODEN 922/2 - Bahagian C: Drama

BAHAGIAN C: DRAMA

Drama : MALAM INI PENYU MENANGIS

Soalan-soalan Umum

1.   Bincangkan tema drama Malam ini Penyu Menangis karya Noordin Hassan.

       Drama Malam Ini Penyu Menangis karya Noordin Hassan bertemakan perjalanan hidup seorang anak seni. Drama ini memaparkan kisah hidup seorang anak seni bernama J.M. Aziz di mana digambarkan tentang kehidupannya yang rapat dengan laut. Di samping itu, juga digambarkan penyakit kusta yang dideritainya. Sungguhpun mengidap penyakit kusta, beliau tetap gigih menulis puisi.


2.   Huraikan persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis.

            Terdapat lima persoalan yang dikemukakan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis. Persoalan yang pertama ialah tentang kreativiti seorang insan seni. Dalam drama ini digambarkan J.M. Aziz mempunyai seni yang begitu tinggi. Beliau mendapat ilham menghasilkan puisi dan sajaknya berdasarkan pengalaman hidupnya sebagai polis hutan dan anak laut. Biarpun menderitai penyakit kusta, beliat tetap terus menghasilkan karya-kraya kreatif.
      
Persoalan yang kedua ialah mengenai keperitan hidup sebuah kelaurga. Dalam drama ini diperlihatkan J.M. Aziz mengidap penyakit kusta. Akibat daripada penyakit kusta tersebut, kehidupan keluarganya mula terhimpit. Biarpun J.M Aziz terus gigih menghasilkan karya, namun isterinya Mak Lijah turut membantunya mencari rezeki.
      
Seterusnya persoalan ketiga mengenai keteguhan hati seorang lelaki. Dalam drama ini ada digambarkan kisah Nabi Ayub pada adegan 10 dan adegan 11. Adegan 10 dan 11 memaparkan keteguhan hati Nabi Ayub yang tidak gentar dengan ujian-ujian iblis. Sungguhpun pelbagai bentuk dugaan yang datang melanda, baginda tetap tabah menghadapinya. Kisah Nabi Ayub ini merupakan kiasan kepada kisah induk drama ini iaitu kisah hidup J.M. Aziz. J.M. Aziz digambarkan seorang yang teguh hati serta tabah menghadapi rintangan dalam hidupnya.
      
Persoalan keempat pula ialah mengenai kesetiaan dan tanggungjawab seorang isteri. Dalam drama ini ada diceritakan kisah Minah dan Mamat pada adegan 8 dan adegan 9. Dalam adegan tersebut, digambarkan kesetiaan Minah terhadap suaminya,Mamat. Minah menjaga  Mamat yang sakit teruk dengan sempurna . Minah sanggup mendukung suaminya ke sungai semata-mata rasa simpati, setia dan tanggungjawabnya sebagai isteri. Kisah Minah dan Mamat ini merupakan kiasan kepada kisah induk drama ini iaitu kisah  hidup J.M. Aziz . Isteri J.M. Aziz iaitu Mak Lijah setia dan bertanggungjawab menjaga J.M. Aziz yang mengidap penyakit kusta.
      
Seterusnya persoalan kelima ialah mengenai semangat perjuangan. Dalam drama ini iaitu pada adegan 5, ada diperlihatkan J.M. Aziz pernah berkhidmat sebagai polis hutan. Menurut watak Nik, J.M Aziz merupakan seorang yang mempunyai semangat perjuangan  dan keberanian ketika menentang pengganas komunis.


3.   Utarakan beberapa mesej yang diketengahkan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis.

            Terdapat empat mesej yang diketengahkan dalam drama malam Ini Penyu Menangis. Mesej yang pertama ialah pentingnya menghargai jasa anak seni. Jasa seorang anak seni harus diberi penghargaan kerana ianya berkaitan dengan pembangunan negara. Pementasan drama Malam Ini Penyu Menangis merupakan sebuah penghargaan terhadap jasa-jasa J.M. Aziz dalam bidang seni.
      
Mesej yang kedua ialah pentingnya kasih sayang dan simpati. Kasih sayang dan simpati bagitu penting dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam drama ini diperlihatkan J.M. Aziz menyayangi rakan-rakannya iaitu Ibrahim dan Jaafar yang meninggal dunia kerana menghalang bot pendatang haram daripada mendarat di Seberang Takir.
      
Seterusnya, mesej yang ketiga ialah pentingnya kegigihan. Kegigihan merupakan satu sikap yang terpuji dan ianya penting dalam meningkatkan imej individu. Dalam drama ini digambarkan J.M Aziz gigih menghasilkan karya-karya sastera terutamanya selepas beliau menghidap penyakit kusta.
      
Mesej keempat ialah pentingnya semangat cintakan tanah air. Hidup dalam sebuah negara menuntut kita menanam semangat cintakan negara agar negara kita tidak dijajah. Dalam drama ini digambarkan J.M Aziz mempunyai semangat juang yang tinggi ketika berkhidmat sebagai polis hutan. Beliau begitu bersemangat menentang komunis yang mengancam tanah air.


4.   Bincangkan teknik plot drama Malam Ini Penyu Menangis.

            Drama Malam Ini Penyu Menangis bersifat kronologi. Kronologi bermaksud segala peristiwa penting disusun mengikut urutan waktu iaitu peristiwa-peristiwa yang melibatkan watak J.M. Aziz.
      
 Plot drama Malam Ini Penyu Menangis terdiri daripada pengenalan, perkembangan, perumitan, puncak dan peleraian.
Plot pengenalan ialah di mana pengarang memperkenalkan watak J.M Aziz dan Kak Lijah sebagai subjek atau pengisahan utama kepada keseluruhan drama.
           
Melalui plot perkembangan, menggunakan watak Wan, Shamsinar dan Nik yang berbual mengenai J.M Aziz ketika zaman mudanya bersama Cik Lijah. Dalam plot ini juga diceritakan penglibatan J.M Aziz dalam arena politik dan penulisan.
        
Seterusnya, melalui plot perumitan dibangkitkan kisah rakan-rakan baik J.M Aziz iaitu Ibrahim dan Jaafar yang meninggal dunia dalam usaha memintas bot pelarian haram Vietnam yang cuba mendarat di Seberang Takir.
       
 Dalam plot puncak diperlihatkan J.M Aziz menghidap penyakit kusta dan penglihatannya mula menjadi gelap. Pun begitu, kerana semangat dan tabah hati, beliau tetap terus menghasilkan karya-karya puisi.
       
Plot peleraian pula memperlihatkan kecekalan watak J.M Aziz serta kesetiaan Mak Lijah yang menjadi sanjungan ramai termasuk Wan dan juga Nik.

5.  Jelaskan watak dan perwatakan J.M Aziz dalam drama Malam Ini Penyu Menangis

            J.M. Aziz merupakan watak utama dalam drama Malam Ini Penyu Menangis. Watak J.M Aziz memainkan peranan dari mula hingga akhir cerita. Beliau lahir pada tahun 1934 di Hujung Tanjung, Seberang Takir. Beliau berkahwin dengan Cik Lijah pada tahun 1952. Mereka dikurniakan tujuh orang anak. Pada tahun 1965 beliau jatuh sakit iaitu penyakit kusta.
       
Terdapat lima perwatakan J.M Aziz dalam drama Malam Ini Penyu Menangis. Perwatakan yang pertama ialah beliau seorang yang peka. Dalam drama ini, diperlihatkan J.M Aziz seorang yang peka terhadap peristiwa dan apa sahaja perkara yang dilihatnya. Sebagai contoh, beliau menghasilkan karya seni (sajak) berdasarkan peristiwa kematian dua rakannya, Ibrahim dan Jaafar. Selain itu, beliau juga peka terhadap kehidupan para nelayan yang bersusah-payah mencari rezeki di laut.
      
Kedua, J.M Aziz seorang yang gigih. Dalam drama ini, J.M Aziz digambarkan seorang yang gigih menjalani kehidupannya terutama semenjak menghidap penyakit kusta. Kegigihannya diperlihatkan melalui limpahan karya-karya puisi yang dihasilkannya sungguhpun menderita akibat penyakit kusta itu. Malah, karya-karya puisinya begitu menyentuh jiwa.
      
Seterusnya perwatakan J.M Aziz yang ketiga ialah beliau seorang yang penyayang. Dalam drama ini, J.M Aziz digambarkan begitu menyayangi isterinya Puan Lijah dan sahabat-sahabatnya. Oleh kerana begitu sedih dengan kematian dua sahabatnya iaitu Ibrahim dan Jaafar, J.M Aziz telah menghasilkan sebuah puisi khas ditujukan buat mereka.
      
Perwatakan yang keempat ialah J.M Aziz seorang yang aktif dalam arena politik. Dalam drama ini ada diceritakan J.M Aziz bergiat aktif dalam politik di mana beliau pernah menjadi ahli UMNO Seberang Takir di mana beliau membantu Osman Abadi di ibu pejabat UMNO di bahagian penerangan.
      
Perwatakan yang kelima ialah beliau mempunyai semangat patriotik. Dalam drama ini, ada diceritakan J.M Aziz berkhidmat sebagai polis hutan di mana beliau digambarkan seorang yang berjiwa patriotik dengan keberaniannya menentang pengganas komunis.


6.   Bincangkan watak dan perwatakan Mak Lijah seperti yang terdapat dalam drama Malam Ini Penyu Menangis.

Mak Lijah ialah isteri kepada J.M Aziz. Ketika mudanya, dia digambarkan seorang yang cantik. Hasil perkongsian hidup dengan J.M Aziz, mereka dikurniakan tujuh orang anak.

Terdapat empat perwatakan Mak Lijah dalam drama Malam Ini Penyu Menangis. Pertama, dia seorang yang baik hati. Dalam drama ini, sikap baik hati Mak Lijah diperlihatkan terhadap suaminya, J.M Aziz. Dia banyak membantu dalam urusan rumah tangga mereka. Mak Lijah menjadi sumber inspirasi bagi J.M Aziz dalam melahirkan puisi-puisi.

Perwatakan Mak Lijah yang kedua ialah dia seorang yang gigih. Dalam drama ini digambarkan Mak Lijah gigih dalam menjalankan tanggung jawab terhadap keluarga. Dengan cahaya mata yang bertambah ramai, Mak Lijah gigih membantu suaminya menambah rezeki.
      
Seterusnya yang ketiga ialah Mak Lijah seorang yang rajin. Dalam drama ini, dia diperlihatkan mempunyai kerajinan dalam melakukan kerjanya. Dia mengambil upah membuat badang buluh dengan upah sebanyak RM2 sehari selepas suaminya sakit kusta.

Perwatakan keempat Mak Lijah ialah dia seorang yang setia. Dalam drama ini, Mak Lijah setia terhadap suaminya J.M Aziz. Mak Lijah tidak berpaling tadah mahupun meninggalkan suaminya sungguhpun suaminya menderita mengidap penyakit kusta.


7.  Huraikan beberapa teknik penceritaan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis

Terdapat dua teknik penceritaan yang diketengahkan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis. Teknik penceritaan yang pertama ialah teknik imbas kembali. Imbas kembali ialah di mana sesuatu watak mengimbas peristiwa-peristiwa yang berlaku di masa lampau. Dalam drama ini terdapat dua situasi teknik imbas kembali iaitu yang pertama kisah tentang Hugh Clifford yang mengagumi kesetiaan dan kesungguhan Minah menjaga suaminya Mamat yang sakit teruk. Situasi kedua ialah kisah mengenai Nabi Ayub yang diuji oleh iblis. Bagaimanapun, Nabi Ayub ternyata tabah menghadapi ujian-ujian tersebut.
      
Teknik penceritaan yang kedua ialah teknik imbas muka. Imbas muka ialah di mana sesuatu watak membayangkan peristiwa yang bakal berlaku akan datang. Dalam drama ini terdapat dua situasi teknik imbas muka. Situasi pertama di mana iblis membayangkan dia akan dapat menguji Nabi Ayub. Iblis begitu percaya bahawa iman Nabi Ayub akan luntur apabila tidak tahan dengan ujian-ujiannya. Situasi kedua pula di mana Hugh Clifford membayangkan bahawa dia akan datang lagi ke tempat itu dan akan menemui Minah dan Mamat.


8.  Bincangkan gaya bahasa yang diketengahkan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis.

            Terdapat beberapa gaya bahasa yang diketengahkan dalam drama Malam Ini Penyu Menangis. Gaya bahasa yang pertama ialah simile. Simile bermaksud satu perumpamaan yang secara jelas mengungkapkan perbandingan atau persamaan antara sesuatu sama ada manusia, benda dan sebagainya. Contoh simile dalam drama ini ialah pada muka surat 238 baris 4 iaitu;
                            Sham dapati, puisi-puisinya seperti awan larat atau arabesque dalam seni Islam.

             Gaya bahasa yang kedua ialah pengulangan. Pengulangan ialah pengulangan perkataan atau ayat. Dalam drama ini terdapat contoh gaya  bahasa pengulangan iaitu pada muka surat 246 iaitu;
                            Kalian nelayan
                            Kalian pahlawan
    
           
Gaya bahasa ketiga ialah penggunaan bahasa daerah. Bahasa daerah ialah dielek asal sesebuah tempat yang digunakan sebagai percakapan harian. Contoh penggunaan gaya bahasa ini ialah pada muka surat 258 baris 3 iaitu;
                            “Oi Tuhan, hang duk tang mana, ha? Keluak mai sini; aku nak cantaih kepala hang. Pasai apa hang bunuh kerbau aku
                                 sampai dua ekok sekali? Bukan kerbau hang. Awat kerbau orang lain tak dakkah?”

Gaya bahasa keempat ialah pantun dan puisi. Pantun dan puisi merupakan antara budaya  tradisi yang terdapat dalam masyarakat melayu. Dalam drama ini terdapat penggunaan gaya bahasa pantun dan puisi ini secara meluas. Pengarang memasukkan puisi-puisi terutamanya sajak-sajak karya J.M Aziz. Keseluruhan sajak tersebut berbentuk puitis dan menarik. Satu contoh penggunaan gaya bahasa ini ialah pada muka surat 232 iaitu penggunaan pantun berikut;
                            Main genta terbayang-bayang,
                                  Isi puan si rama-rama;
                            Hati yang cinta hati yang sayang,
                                 Sujud pada-Mu selama-lamanya.
    
Gaya bahasa kelima ialah alusi. Alusi ialah satu perbuatan membayangkan atau merujuk kepada sesuatu secara tidak langsung. Contoh gaya bahasa alusi dalam drama ini ialah pengarang, Noordin Hassan memasukkan tokoh yang berkaitan dengan Islam iaitu Nabi Ayub yang disifatkan seorang yang beriman, tabah dan sabar.














































Soalan 3
Berdasarkan drama Malam Ini Penyu Menangis karya Nordin Hassan:
a)  Buktikan drama ini merupakan sebuah drama bukan realisme

Jawapan:

Drama Malam Ini Penyu Menangis karya Nordin Hassan merupakan sebuah kisah biografi tentang penyair J.M Aziz. Drama ini dipentaskan berbaur dengan unsur-unsur simbolik yang membuatkan ianya lebih mencabar dan canggih berbanding dengan drama aliran realisme.
Drama Malam Ini Penyu Menangis ini merupakan sebuah drama bukan realisme. Ini terbukti apabila terdapatnya penggunaan unsur simbolik iaitu satu lembaga hitam yang besar kakinya. Lembaga hitam berkaki besar tersebut bagi melambangkan tentang J.m. Aziz yang mula diserang penyakit kusta. Sebagai contoh, dapat dilihat pada adegan 7, muka surat 246, baris 27.
Bukti seterusnya ialah terdapat selitan unsur-unsur tarian dan nyanyian. Unsur-unsur ini secara tidak langsung membawa mesej tertentu iaitu dikaitkan dengan peristiwa yang telah ataupun akan berlaku seterusnya. Sebagai contoh, dapat dilihat pada adegan 3, mukasurat 232, baris 16.

b) Huraikan dua kiasan berkaitan dengan J.M Aziz dan Cik Lijah

Jawapan:             
      Dua kisah kiasan berkaitan dengan J.M Aziz dan Cik Lijah ialah yang pertama kisah tentang Minah dan Mamat. Kisah Minah dan Mamat dilakonkan pada adegan 8. Dalam adegan 8 ini memaparkan kisah benar hasil tulisan Hugh Clifford, Residen British di Pahang. Kisah benar ini mengenai sepasang suami isteri iaitu Minah dan Mamat. Minah menjaga Mamat yang sakit teruk. Tuk Penghulu telah menawarkan untuk membawa Mamat ke rumah sakit tetapi Minah berkeras mahu menjaga sendiri suaminya. Hugh Clifford yang mendengar luahan Tuk Penghulu lalu mengajaknya ke rumah Minah dan Mamat. Selepas berbual-bual, Hugh Clifford ternyata kagum dengan sikap dan pendirian Minah dan berasa bangga dapat bersalaman dengan Minah. Kisah benar ini dilakonkan bagi memaparkan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan kisah kesusahan hidup J.M. Aziz. Minah adalah lambang kesetiaan seorang isteri terhadap suami. Minah adalah umpama Cik Lijah yang setia kepada J.M Aziz. Cik Lijah rela sehidup semati bersama suaminya Cik Lijah.Cik Lijah juga merupakan seorang yang gigih dan rajin mencari rezeki demi membantu meringankan beban hidup setelah J.M Aziz jatuh sakit.
      Kisah kiasan kedua berkaitan dengan J.M Aziz dan Cik Lijah ialah pada adegan 10 dan adegan 11. Melalui adegan-adegan ini, memaparkan lakonan sebuah  teladan dari kisah-kisah Nabi. Kisah tersebut ialah mengenai kekayaan Nabi Ayub. Sungguhpun kaya dengan memiliki tanaman serta ternakan yang banyak dan putera puteri yang cantik-cantik belaka, Nadi ayub tidak lupakan tuhan (Allah). Nabi Ayub sentiasa bersyukur dengan rahmatNya, tidak henti-henti beribadat  dan berbuat baik sesama manusia terutamanya fakir miskin. Bertambah kaya Nabi Ayub maka bertambah kuat iman dan khidmatnya. Iblis yang  irihati, berikrar melemahkan iman Nabi Ayub untuk menunjukkan berapa lemahnya manusia. Suatu hari, ternakan dan ladang Nabi Ayub musnah tetapi beliau masih bersabar dengan dugaan itu. Seterusnya iblis menduga dengan lebih dahsyat lagi. Semua anak Nabi Ayub meninggal dunia. Kini tinggal Nabi Ayub bersama isterinya. Sungguhpun isterinya tidak dapat menerima hakikat itu tetapi Nabi Ayub tetap teguh imannya dan beribadat seperti biasa. Selepas itu, iblis menurunkan penyakit dahsyat terhadap Ayub. Godaan iblis akhirnya menyebabkan isteri Nabi Ayub meninggalkannya. Dalam derita penyakitnya, Nabi Ayub tetap sujud dan beribadat kepada Allah. Akhirnya, dengan pertolongan Allah, penyakit Nabi Ayub sembuh. Isterinya, Rahmah kembali ke pangkuannya dengan rasa sesal. Kisah Nabi Ayub ini sebagai simbolikkepada ketabahan J.M Aziz danCik Lijah dalam menempuh cabaran dan dugaan dalam kehidupan mereka. Tanpa keimanan dan kekuatan dalam diri, J.M Aziz tidak akan dapat mengharungi cabaran dan dugaan yang datang bersilih ganti.

No comments:

Post a Comment